STL: Hati Farid jadi tidak keruan kerana ibu - Utusan Malaysia

STL: Hati Farid jadi tidak keruan kerana ibu

AKSI Tekong Putrajaya Cyborg Muhammad Farid Abdul Aziz melakukan servis ketika aksi Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Memikirkan ibu yang terlantar sakit di hospital, hati tekong Putrajaya Cyborg, Muhammad Farid Abdul Aziz menjadi tidak keruan dan dia hampir menarik diri daripada beraksi bersama pasukannya dalam Liga Premier pada minggu terakhir pusingan pertama kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 di Stadium Titiwangsa, hujung minggu ini.

Pemain berusia 29 tahun itu sedar khidmatnya amat diperlukan pasukan pada ketika Putrajaya sedang berusaha mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas liga.

Namun, mengenangkan ibunya, Morsidah Suderoh, 49, yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit kencing manis, dia menjadi serba salah.

“Bila saya ada masalah kat sana (di HKL) tapi dalam masa sama saya sedar di sini (Stadium Titiwangsa) saya tak boleh tinggal, saya jadi serba salah.

“Orang yang paling kuat dengan saya ialah isteri saya, dia yang banyak beri sokongan dan kekuatan kerana minggu ini saya memang tak nak bermain, sebab saya letih, jadi, dialah yang bagi kekuatan semua tu untuk saya.

“Saya hampir buat keputusan tarik diri daripada bermain minggu ini kerana saya juga terlepas latihan terakhir bersama pasukan, tapi, isteri menghalang niat saya itu, dia minta saya fokus kepada perlawanan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas perlawanan di Stadium Titiwangsa.

Menurut Farid, di atas nasihat isterinya, Norfadilah Saipul Azhar, 32, dia akhirnya membatalkan hasratnya itu dan tidak menyangka keputusan yang dibuatnya mendatangkan hasil positif buat pasukan.

Jelasnya, Putrajaya berjaya mencipta kemenangan ke atas Kelantan Warriors dalam perlawanan yang berlangsung sengit sehingga ke set penentuan.

“Kemenangan yang berjaya dicatat Putrajaya sedikit sebanyak mengubat kepenatan saya, doakan ibu saya cepat sembuh dan dapat keluar dari hospital segera,” ujarnya yang berkhidmat bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Klang, Selangor.

Bercerita lanjut tentang penyakit kencing manis yang dihidapi ibunya, Farid berkata, doktor menasihatkan agar kaki ibunya dipotong bagi mengelak keadaan semakin memburuk.

“Sekarang saya masih tunggu keputusan doktor sama ada hendak potong kaki atau tidak, tapi rasanya potong sebab dah teruk,” jelas Farid yang turut dimasukkan ke hospital kerana demam panas sebelum ibunya pula ditahan di wad.

Sementara itu, pasukan yang diwakili Farid, Putrajaya Cyborg telahpun melengkapkan sembilan perlawanan pusingan pertama, hujung minggu ini, dengan mencipta kejutan ke atas Kelantan Warriors serta Kuala Lumpur Thunder dan pendatang baharu Liga Premier itu kini berada di kedudukan ketiga setelah mengumpul 12 mata hasil enam kemenangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya