Harga maksimum vaksin Covid-19 ditetapkan  - Utusan Malaysia

Harga maksimum vaksin Covid-19 ditetapkan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa Sabtu ini, harga runcit maksimum setiap satu dos vaksin jenama CoronaVac keluaran Sinovac ditetapkan pada harga RM77 manakala jenama Covilo keluaran Sinopharm pula RM61.

Bagi harga borong setiap satu dos untuk kedua-dua vaksin Covid-19 tersebut, maksimum ditetapkan masing-masing RM62 dan RM49.

Menurut kenyataan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, buat masa ini Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan proses penentuan harga borong maksimum serta harga runcit maksimum bagi dua produk vaksin Covid-19 sahaja.

“Penentuan harga vaksin Covid-19 hanya melibatkan vaksin yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM. Harga borong maksimum dan harga runcit maksimum bagi kedua-dua vaksin ini berkuat kuasa pada 15 Januari di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.

“Harga runcit maksimum yang ditetapkan tidak termasuk caj perkhidmatan dan caj barangan pakai buang yang digunakan ketika suntikan vaksin Covid-19. Penentuan harga maksimum ini secara asasnya dibuat berdasarkan harga pengimportan dan harga pasaran semasa,” menurut kenyataan tersebut di sini hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan bersama itu turut menyebut, senarai dan harga vaksin Covid-19 dikaji secara berterusan dan akan ditambah baik atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran dan keperluan semasa.

Katanya, setiap fasiliti kesihatan swasta yang mendapat kelulusan kerajaan untuk menawarkan private-purchase vaccination diwajibkan mempamerkan harga jualan vaksin Covid-19 untuk rujukan orang ramai dalam meningkatkan ketelusan maklumat harga vaksin.

Mengulas lanjut, kedua-duanya menteri itu menegaskan, mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan tindakan penalti.

“Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” tegas mereka.

Sementara itu, kata kenyataan itu, kedua-dua kementerian bekerjasama melaksanakan penentuan harga maksimum vaksin berkenaan untuk mengelak ia dijual dengan harga terlalu tinggi, manakala penguatkuasaan perintah ini dilaksanakan sepenuhnya Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM.

Pemberian vaksin Covid-19 adalah percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan diberikan secara sukarela kepada semua penduduk Malaysia, namun rakyat juga boleh mendapatkannya mengikut pilihan sendiri secara berbayar di hospital dan klinik swasta yang diberi kebenaran KKM mengikut pilihan masing-masing. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya