PETALING JAYA: Hukum perbuatan mempromosikan barangan di media sosial dengan cara berbogel, berpakaian tidak sopan dan memalukan adalah haram.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Fatwa memaklumkan, perkara itu juga dianggap sebagai perbuatan berbangga dengan dosa manakala merupakan perbuatan boleh mencemarkan kehormatan diri sebagai wanita apatah lagi jika adalah seorang Muslim.
“Mempromosikan barang seharusnya menggunakan cara yang elok dan sopan serta tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak.
“Sesungguhnya niat tidak menghalalkan cara. Meskipun niat seseorang itu baik yang tujuan mencari rezeki, namun niat sebegini sama sekali tidak menghalalkan jalan promosi yang diharamkan oleh agama,” kata Irsyad Fatwa itu.
Penerangan itu menjawab persoalan yang dibangkitkan apabila kini wujud segelintir peniaga wanita yang mempromosikan barang dengan cara cukup memalukan dengan siap tidak berpakaian lagi untuk promosikan barang.
Malah ada yang berpakaian tidak sopan seperti pakai bikini demi promosikan barang yang dijual.