SHAH ALAM: Orang ramai dinasihatkan mengubah tabiat daripada suka membuang sampah ke dalam longkang kepada memasukkannya ke tong-tong disediakan bagi mengelakkan saluran air tersumbat dan mencetuskan banjir apabila berlaku hujan lebat.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, bukan seorang yang mempunyai tanggapan bahawa membuang sampah dalam longkang akan menyebabkan sisa berkenaan hanyut dan tidak menyebabkan banjir.
“Jika sikap begitu menjadi amalan sudah pasti longkang tersumbat akibat sampah yang dibuang oleh orang ramai yang bersikap sedemikian dan akhirnya menyebabkan laluan air tersekat.
“Hasil pemantauan banjir dan saluran air baru-baru ini terutama di Taman Sri Muda, Seksyen 25 mendapati pam dan pintu air semua berfungsi dengan baik cuma air di beberapa longkang kecil tersekat aliran oleh sampah,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan 50 Tahun Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS hari ini.
Bagaimanapun, beliau sudah pun meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan KDEB Waste Management (KDEBWM) supaya menggandakan usaha membersihkan longkang-longkang di kawasan terbabit.
Mengulas lanjut, Izham menjelaskan, sampah di dalam longkang di Taman Sri Muda begitu banyak.
“Justeru saya memohon kepada orang ramai untuk membuang sikap membuang sampah ke dalam longkang kecil dan memastikan ia tidak menyekat aliran air ke longkang besar semasa hujan lebat,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE