PUTRAJAYA: Hanya satu kluster baharu dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik Covid-19 melanda negara iaitu 6,134 kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 209 kluster aktif direkodkan yang menunjukkan penurunan berbanding semalam, 215 kluster.
“Jumlah kluster tamat pula sebanyak 5,925 kluster berbanding semalam, 5,918 kluster.
“Bagi kes positif, ia menunjukkan penurunan iaitu 2,882 kes berbanding semalam, 3,386 kes sekali gus diatasi pesakit yang sembuh pula, 3,291 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, Malaysia merekodkan sebanyak 1.7 peratus bersamaan 49 kes daripada 2,882 kes harian positif Covid-19 melibatkan kategori tiga, empat dan lima, hari ini.
Katanya, bakinya, 2,833 kes bersamaan 98.3 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 284 kes berbanding semalam, 273 kes.
“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula merekodkan penurunan sedikit iaitu 156 kes berbanding semalam, 159 kes,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat kepada 26 kes, berbanding semalam, 25 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman sesawang https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 31,513 kes.-UTUSAN ONLINE
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak tiga daripada 26 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,358 kes. -UTUSAN ONLINE