PUTRAJAYA: Dua kluster baharu dicatatkan menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,139 kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 200 kluster aktif direkodkan yang menunjukkan penurunan berbanding semalam, 206 kluster.
“Jumlah kluster tamat sebanyak 5,939 kluster berbanding semalam, 5,931 kluster. Bagi kes positif, ia menunjukkan penurunan iaitu 2,842 kes berbanding semalam, 2,690 kes sekali gus diatasi pesakit yang sembuh pula, 2,862 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia merekodkan sebanyak 1.7 peratus bersamaan 47 kes daripada 2,842 kes harian positif Covid-19 melibatkan kategori tiga, empat dan lima, hari ini.
Katanya, bakinya, 2,795 kes bersamaan 98.3 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) mencatatkan penurunan apabila merekodkan 252 kes berbanding semalam, 265 kes. Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula merekodkan penurunan sedikit iaitu 134 kes berbanding semalam, 147 kes,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan berlakunya peningkatan apabila mencatatkan sebanyak 28 kes, berbanding semalam, 19 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang semalam, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 31,560 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak empat daripada 28 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,366 kes. – UTUSAN