PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 1.5 peratus bersamaan 52 kes daripada 3,573 kes harian positif Covid-19 melibatkan kategori tiga, empat dan lima, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bakinya, 3,521 kes bersamaan 98.5 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
Bagi kes positif katanya, ia menunjukkan penurunan iaitu 3,573 kes berbanding semalam, 3,997 kes sekali gus mengatasi pesakit yang sembuh pula, 3,988 kes.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kembali merekodkan penurunan di bawah 300 kes apabila mencatatkan 269 kes. Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula terus kekal di bawah 200 kes apabila merekodkan 163 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, lima kluster baharu dicatatkan yang menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,128 kluster.
“Sebanyak 217 kluster aktif manakala jumlah kluster tamat sebanyak 5,911 kluster,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan mencatatkan sebanyak 34 kes. Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 11 daripada 34 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,351 kes. – UTUSAN ONLINE