Hanya 40 peratus Palapes daftar Askar Wataniah - Utusan Malaysia

Hanya 40 peratus Palapes daftar Askar Wataniah

ZAMROSE Mohd. Zain (kiri) memakaikan pangkat pada Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Palapes Darat Universiti Awam Ke-39 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hanya sekitar 40 peratus Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Darat yang telah mendaftar diri untuk berkhidmat dengan Rejimen Askar Wataniah mengikut zon masing-masing selepas ditauliahkan sebagai Pegawai Muda.

Sehubungan itu, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berharap lebih ramai pegawai kadet pasukan beruniform itu dapat berbuat demikian secara sukarela.

Katanya, Palapes merupakan satu inisiatif dilaksanakan kerajaan bertujuan untuk melahirkan golongan belia yang berkelayakan dan mempunyai semangat patriotik.

“Apabila mereka (Palapes) tamat tauliah mereka tidak dimestikan untuk masuk tentera, mereka boleh pilih kerjaya masing-masing tetapi kita mohon mereka lapor diri ke Rejimen Askar Wataniah walaupun bekerja di mana sahaja.

“Ketika ini, untuk rekod hanya lebih kurang 40 peratus sahaja yang melaporkan diri ke unit Askar Wataniah kawasan masing-masing,” katanya selepas Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Palapes Darat Universiti Awam Ke-39, di sini hari ini.

Tambah Zamrose, pendaftaran mereka itu bertujuan untuk membolehkan kerajaan menjalankan pelbagai misi bantuan dan kemanusiaan sekiranya diperlukan.

“Askar Wataniah ini bukan hanya sekadar melakukan persediaan untuk menghadapi peperangan, tetapi yang lebih utama adalah mereka boleh diturunkan untuk melaksanakan sebarang misi akibat bencana seperti banjir dan banyak lagi.

“Selain itu, kita juga mempunyai sasaran untuk mencapai nisbah 1:1 antara anggota sukarelawan dan anggota tetap, dan ketika ini perjawatan dalam Tentera Darat adalah seramai 90,000 orang.

“Inisiatif ini diletakkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk pelan jangka masa lima tahun manakala bagi pelan jangka masa panjang, kita letakkan dalam inisiatif Army 4nextG yang sasarkan untuk capai matlamat berkenaan dalam tempoh 30 tahun,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengharapkan penyertaan lebih ramai rakyat daripada kalangan masyarakat bukan bumiputera untuk sama-sama menyertai bukan sahaja Palapes, tetapi juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita telah melakukan pelbagai usaha dan promosi dalam menarik minat masyarakat bukan bumiputera agar sama-sama menyertai badan beruniform ini. Walaupun perlahan namun kami dapat melihat terdapat peningkatan dalam kalangan anggota bukan bumiputera,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya