Guna nombor plat palsu elak motosikal ditarik  - Utusan Malaysia

Guna nombor plat palsu elak motosikal ditarik 

SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang diperiksa dalam Op Khas Motosikal yang dijalankan secara bersepadu oleh JPJ Pulau Pinang dan beberapa agensi lain di plaza tol Jambatan Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sudahlah menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk motosikal, Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang digunakan pula tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans. 

Lebih mengejutkan, penunggangnya turut dikesan tidak memiliki lesen memandu ketika ditahan. 

Itu antara kesalahan yang dikesan dalam Op Khas Motosikal yang dijalankan secara bersepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri bersama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri sempena sambutan Tahun Baharu Cina, malam tadi. 

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, kesalahan tersebut dikesan bukan pada sebuah motosikal sahaja, malah melibatkan dua penunggang berbeza. 

“Hasil soal siasat, kita dapati salah seorang penunggang motosikal itu menggunakan nombor pendaftaran palsu semata-mata untuk mengelakkan motosikalnya daripada ditarik (kerana gagal membayar ansuran bulanan). Ini kesalahan yang amat besar kerana menjejaskan pemilik asal (nombor pendaftaran) yang tidak bersalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di laluan motosikal plaza tol Jambatan Pulau Pinang, di sini. 

Selain lokasi itu, operasi yang secara keseluruhannya melibatkan 88 anggota daripada pelbagai agensi itu turut diadakan berhampiran plaza tol Juru menghala ke utara. 

Jelas Adenan, dalam operasi selama empat jam itu, sebanyak 538 motosikal diperiksa dengan 334 daripadanya diambil tindakan. 

Katanya, 11 motosikal telah disita manakala 296 notis melibatkan beberapa kesalahan seperti tidak dilengkapi cermin pandang sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta 37 notis berkaitan pengubahsuaian kenderaan dan 25 notis arah periksa turut dikeluarkan. 

Pada masa sama, katanya, seorang penunggang motosikal dikesan positif dadah jenis methamphetamine hasil 15 saringan yang dijalankan oleh AADK. 

Menurut Adenan, JAS turut mengeluarkan sembilan notis bunyi bising ekzos dalam operasi itu manakala PDRM pula mengeluarkan 35 notis atas pelbagai kesalahan. 

“Tujuan operasi ini bukanlah untuk kita mencari kesalahan penunggang motosikal, sebaliknya, mahu memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya yang memberitahu, kesalahan paling banyak dikesan sepanjang operasi berkenaan ialah tiada lesen memandu dan LKM tamat tempoh. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya