PETALING JAYA: Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin kesal dengan tindakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang cuba mencetuskan kekeliruan dalam soal pemecatan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dalam media sosial dan media-media massa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hashim menegaskan, Nik Mohamad Abduh sepatutnya berjumpa sendiri Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mendapat penjelasan lanjut mengenai pemecatan tersebut, bukannya mempersoalkan secara terbuka dalam media sosial yang boleh mencetuskan pelbagai polemik.
Katanya, pemecatan Mohd Khairuddin sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sudah tentunya mempunyai sebab tersendiri yang tidak perlu didedahkan kepada umum sebaliknya diselesaikan secara dalaman sahaja.
“Pemecatan Mohd Khairuddin sudah tentu ada sebab-sebab tertentu yang tindakan diambil berdasarkan bukti-bukti. Seboleh-bolehnya, kita tak nak burukkan lagi keadaan, cukup sekadar selesai di peringkat dalaman parti sahaja,” katanya.
Baru-baru ini, Nik Mohamad Abduh yang juga merupakan Ahli Parlimen Bachok menerusi laman Facebooknya berpandangan, isu pemecatan Mohd Khairuddin perlu dijelaskan kepada umum dan tidak terhad kepada ahli Pas semata-mata.
Nik Mohamad Abduh yang turut mengaku sebagai sahabat rapat Mohd. Khairuddin dilaporkan berkata, penjelasan rasmi itu sekiranya dibuat dengan segera boleh membina persepsi baik terhadap Pas yang kini memerintah negara, apatah lagi, isu tersebut melibatkan ahli parti yang memegang amanah rakyat selaku Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Mohd Khairuddin sebelum ini digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pas, selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.
Tambah Hashim, pengguguran Mohd Khairuddin tidak ada kena mengena dalam soal pendirian terhadap Muafakat Nasional (MN) ataupun Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, AJK Pas Pusat, Dr. Mohd. Mazri Yahya berkata, pengguguran Mohd. Khairuddin disifatkan sebagai tindakan ‘disiplin’ paling ringan dikenakan kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Ketika ditanya sama ada kecenderungan Mohd. Khairuddin terhadap MN mempengaruhi pengguguran itu, beliau berkata, terdapat beberapa isu lain yang lebih layak dijawab Presiden parti.