PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri diharap dapat memberikan arahan tegas supaya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengkaji semula tindakan memotong elaun atlet dan menggugurkan 144 atletnya.
Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) berkata, hal itu kerana fokus dan strategi kementerian diterajui Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sudah tersasar jauh daripada matlamat asal.
“Kepimpinan Perdana Menteri perlu meletakkan kembali keutamaan pembangunan bidang sukan di tempat yang betul dan tidak wajar bercanggah dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dibentangkan tahun lalu.
“Kami tidak mahu prestasi dan mutu sukan menjadi punca kepada kemerosotan dan merundumnya bidang sukan disebabkan tindakan penyelesaian singkat dengan memotong elaun dan menggugurkan atlet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 5 Januari lalu, negara digemparkan dengan laporan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa mengurangkan elaun latihan atlet negara dan menggugurkan 144 atlet negara daripada program latihan kebangsaan ekorang kekurangan peruntukan.
Atlet yang terlibat antaranya Zaidatul Husniah Zulkifli yang mengalami kecederaan ligamen di lutut sejak 2020 manakala selebihnya sedang mempertimbang untuk bersara, menyambung pengajian atau mencari peluang pekerjaan lain.
Pasda pembentangan Bajet 2022 oleh Kementerian Kewangan pada tahun lalu, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM244 juta untuk kementerian terbabit.
Dalam pada itu, UNI-MLC menegaskan supaya KBS dan semua agensi sukan di bawahnya bertanggungjawab sepenuhnya mengenai isu tersebut dan mengembalikan kadar elaun diberikan sebelum ini dengan segera.
“Kita perlu sedar walaupun atlet menerima elaun semata-mata, tempoh mereka berada dalam latihan merupakan kerjaya yang perlu dilayan, dijaga dan diberi perhatian dengan hormat dan bermaruah.
“Alasan tidak cukup dana kewangan tidak dapat diterima sama sekali jika benar-benar mahu memberi tumpuan ke atas pelan pembangunan atlet,” katanya. -UTUSAN ONLINE