SHAH ALAM: Seorang bekas pekerja hiasan dalaman berdepan hukuman penjara dan denda RM5 juta selepas didakwa memberi tawaran pelaburan wang asing pada April 2020.
Tindakan wanita berkenaan berusia 43 tahun hampir dua tahun lalu itu mengundang padah apabila dituduh melakukan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Bagaimanapun tertuduh, Nur Aliyyah Habibah Jackson Ghani, 43, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Helina Sulaiman selepas mengangguk faham terhadap pertuduhan melibatkan kerugian sebanyak RM227,000 yang dibacakan ke atasnya.
Berdasarkan pertuduhan, Nur Aliyyah pada 7 April 2020 dekat sebuah bank di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi didakwa memindahkan wang sebanyak RM170,000 dalam akaun bank sebuah syarikat ke dalam akaun bank seorang wanita berusia 63 tahun dan pada tarikh sama turut melupuskan sebanyak RM30,000 daripada akaun bank milik syarikat terbabit.
Kemudian, pada 17 April 2020 di cawangan bank sama, tertuduh didakwa memindahkan sekali lagi wang sebanyak RM10,000 daripada akaun bank milik syarikat itu kepada akaun bank milik wanita sama.
Pada 12 hingga 20 April pula, juga di cawangan bank yang sama, Nur Aliyyah didakwa melupuskan wang sebanyak RM17,000 lagi daripada akaun bank milik sebuah syarikat sama dan kesemua jumlah wang terbabit didakwa adalah hasil daripada aktiviti haram.
Oleh demikian, dia dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Sabit kesalahan, bagi setiap kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi kemudian memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap kesalahan dilakukan dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Helina kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM12,000 terhadap Nur Aliyyah iaitu RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dan permohonan pindahan kes daripada pihak pendakwaan.
Perbicaraan kes ditetapkan pada 24 hingga 26 Januari ini bersama satu kes Akta Kewangan yang turut dihadapi Nur Aliyyah. – UTUSAN ONLINE