YAOUNDE: Juara tujuh kali, Mesir mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas menewaskan Sudan 1-0, semalam dan keputusan itu juga membolehkan lima pasukan lain termasuk Ivory Coast mara ke pusingan berikutnya.
Nigeria muncul juara Kumpulan D dengan rekod bersih tiga kemenangan apabila menewaskan Guinea-Bissau 2-0, meletakkan naib juara Mesir berdepan juara Kumpulan E yang berpotensi menjadi milik Ivory Coast di pusingan seterusnya.
Tandukan Mohamed Abdelmonem 10 minit sebelum rehat di Yaounde melayakkan The Pharaohs ke pusingan kalah mati menyingkirkan Sudan, selain membolehkan Ivory Coast, Mali, Gambia, Malawi dan Cape Verde turut layak.
“Saya rasa Mesir berhak memenangi perlawanan ini tanpa ragu-ragu lagi berdasarkan peluang yang kami cipta dan corak permainan kami.
“Kesilapan kami ialah tidak menjaringkan gol kedua. Jika anda menjaringkan gol kedua permainan dianggap berakhir. Saya katakan dengan jelas dan jika kami mampu menang semua perlawanan 1-0, saya tetap akan rasa gembira,” kata jurulatih Mesir, Carlos Queiroz.
Kemenangan Mesir memastikan Cape Verde dan Malawi layak sebagai pasukan tempat ketiga terbaik.
Juara tiga kali Nigeria meneruskan permulaan cemerlang dengan menewaskan Guinea-Bissau hasil jaringan babak kedua Umar Sadiq dan kapten William Troost-Ekong. – AFP