KUALA TERENGGANU: Penggunaan gelaran ‘Mek’ dan ‘Awang’ kepada masyarakat Cina jelas membuktikan keakraban dan keharmonian masyarakat pelbagai budaya di Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, gelaran itu sudah tidak asing untuk kaum Cina di negeri ini walaupun asalnya digunakan dalam kalangan orang Melayu.
“Di Terengganu, masyarakat Tionghoa amat dihargai oleh masyarakat sekeliling. Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan Gong Xi Fa Cai dan Xin Nian Kuai Le, semoga kehadiran tahun baharu ini membawa keharmonian dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini tentunya membawa lebih kegembiraan kerana kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk berkaitan acara makan keluarga dan aktiviti ziarah.
Bagaimanapun, beliau berharap kelonggaran itu dimanfaatkan sebaiknya, dengan sentiasa mematuhi SOP di samping mengutamakan keselamatan diri dan orang sekeliling.
“Dalam meraikan kegembiraan menyambut perayaan, pasti ramai yang merancang untuk pulang ke kampung halaman bertemu ibu bapa dan keluarga. Nasihat saya, rancang perjalanan dan pandulah dengan penuh berhemah,” katanya. – UTUSAN ONLINE