SEREMBAN: Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Stesen Pemancar Telapak Buruk, Jelebu sehingga menyebabkan gangguan kepada siaran radio dijangka pulih dalam tempoh dua hari lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia selepas pihak Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melakukan penyambungan kabel bagi membekalkan tenaga elektrik bermula hari ini selepas sebelum ini mengalami kerosakan susulan kejadian tanah runtuh sepanjang laluan ke stesen pemancar berkenaan.
“Telah berlaku tanah runtuh ke Gunung Telapak Buruk tersebut dan saya dimaklumkan runtuhan amat panjang.
“TNB akan menghantar kabel elektrik untuk kerja-kerja sambungan, walaupun kerja-kerja pembersihan (tanah runtuh) tidak selesai lagi, tetapi kabel sementara akan dipasang bagi memberi bekalan elektrik kepada menara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2022 di Wisma Negeri di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri akan membantu Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan tapak bagi pembinaan rumah baharu bagi menggantikan kediaman yang terjejas teruk susulan banjir besar pada 18 dan 19 Disember lalu.
Aminuddin berkata, hasil mesyuarat yang dijalankan bersama Perdana Menteri semalam, telah dinyatakan bahawa kerajaan Persekutuan akan menyediakan peruntukan iaitu sebanyak RM56,000 bagi sebuah rumah manakala kerajaan negeri membantu dengan menyediakan tapak.
“Oleh kerana peruntukan telah disediakan oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri akan menyediakan tapak dan kos rumah kediaman tersebut ialah RM56,000 sebuah.
“Kerajaan negeri diminta menyediakan tapak dan urusan pembinaan akan diuruskan oleh kerajaan Persekutuan. Setakat ini kami mengenal pasti terdapat tujuh buah rumah akan dibina di Kampung Puom, Jelebu.
“Pembaikan rumah rosak juga ada peruntukannya yang disediakan kerajaan Persekutuan, kami ada datanya dan kami akan bantu supaya mereka boleh buat tuntutan tersebut,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, Aminuddin berkata, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil sebanyak RM397.4 juta setakat 31 Disember 2021 iaitu bersamaan 88.71 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.