JERANTUT: Seekor gajah liar menceroboh ke penempatan Orang Ali etnik Bateq di Kampung Yong berdekatan Taman Negara Kuala Tahan dekat sini, semalam.
Gangguan haiwan liar itu menyebabkan rumah penduduk rosak, banyak barang makanan di dapur dimusnahkan dan berselerak serta beberapa pokok buah-buahan ditumbangkan.
Difahamkan penduduk Orang Asli etnik Bateq Kampung Yong terdiri daripada antara 40 hingga 60 orang daripada 15 buah keluarga menetap di situ manakal segelintir daripadanya berpindah ke tempat lain ketika kejadian.
Seorang penduduk Orang Asli etnik Bateq, Boyong Boyong, 40-an, berkata, kejadian kira-kira pukul 11 malam itu mengejutkan penduduk yang sudah tidur apabila terdengar bunyi yang kuat dari arah sebuah rumah dirempuh haiwan itu.
“Seorang rakan ternampak seekor gajah mula menceroboh lalu memberitahu supaya kami keluar bersama keluarga lari menyelamatkan diri masing-masing.
“Ancaman gajah ini menyebabkan sebuah rumah penduduk rosak, banyak peralatan serta barang dapur (makanan) berselerak di atas tanah di samping meninggalkan ketulan najis selepas haiwan ini beredar kembali ke hutan,” katanya di Kampung Yong dekat sini hari ini.
Menurut Boyong, kejadian berlaku selama tiga malam berturut-turut, manakala kira-kira pukul 11 malam semalam antara ancaman paling teruk dan menakutkan penduduk di situ.
“Kejadian ini menyebabkan harta benda rosak termasuk rumah hingga memaksa kami berpindah ke kawasan berdekatan seberang Sungai Tembeling dengan membina pondok sementara untuk mengelakkan gangguan gajah iar ini.
“Kita berharap ada pihak berwajib dapat membantu mengatasi gangguan gajah liar ini bagi membolehkan penduduk kembali semula ke kampung ini dan selesa mencari rezeki,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE