GEORGETOWN: Seramai lima lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 50 tahun ditahan polis di sini susulan insiden pergaduhan dipercayai akibat salah faham berhubung urusan menarik kereta.
Kejadian berlaku di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini kira-kira pukul 2 petang semalam melibatkan kira-kira 20 individu yang videonya turut tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian berlaku selepas sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain terbabit dalam kemalangan di laluan menghala pusat bandar.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati pergaduhan melibatkan sekumpulan kira-kira 20 orang terdiri daripada pekerja-pekerja penarik kereta berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya berkenaan.
“Anggota polis yang berada di lokasi kejadian cuba meleraikan pergaduhan tetapi gagal dan seterusnya mendapatkan bantuan anggota polis Cawangan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, ketika anggota MPV dan URB sampai di lokasi kejadian, kesemua individu berkenaan telah melarikan diri.
“Setakat ini, lima lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 50 tahun ditangkap di sekitar Georgetown.
“Pihak polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut iaitu topi kaledar dan pengunci motosikal,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh dengan senjata).