Gadai emas demi kasih pada 70 kucing jalanan - Utusan Malaysia

Gadai emas demi kasih pada 70 kucing jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kasih kepada kucing jalanan mendorong pasangan suami isteri dari Kampung Pengkalan Cicar, Bukit Kuang di sini menggadai barangan kemas untuk menyediakan sangkar baharu buat haiwan peliharaan mereka.

Rusli Ibrahim, 66, berkata, dia dan isteri, Masnun Sufeno, 60, tidak kisah berhabis wang di samping sanggup mengikat perut demi memastikan keselesaan kesemua 70 kucing yang dipelihara.

Katanya, amalan itu menjadi rutin mereka sejak mula terlibat mengutip kucing jalanan kira-kira 30 tahun lalu.

“Kadangkala saya dan isteri terpaksa menggadaikan barangan kemas untuk membeli makanan serta membiayai kos rawatan kucing tetapi kami tidak pernah merasa terbeban berbuat demikian kerana percaya pada konsep rezeki.

“Terbaharu, dua hari lalu, emas digadai sekali lagi kerana kami mahu menyediakan sangkar lebih besar untuk memberikan keselesaan dan mengelakkan jangkitan virus pada kucing,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Rusli yang merupakan bekas pemandu lori berkata, kucing jalanan yang diselamatkan termasuk yang cedera dan buta.

Katanya, sehingga kini dia membelanjakan hampir RM2,000 sebulan untuk kos makanan dan rawatan kucing.

“Saya sayangkan kucing sepenuh hati seperti sayang pada anak-anak dan cucu saya. Walaupun sesama manusia saya ada tahap kesabaran tetapi dengan haiwan comel itu saya boleh bersabar,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (Rusli) 0610029000618162 atau menghubungi talian 013-9571227.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya