PETALING JAYA : Prestasi mengecewakan pasukan Harimau Malaya di Piala AFF 2020 bukan alasan atau faktor untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melawan arus perjalanan peta hala tuju F:30 dan DNA bola sepak Malaysia yang dilancarkan pada 2018.
Apa juga tindakan yang mungkin akan diambil selepas ini, ia tidak wajar dilakukan mengikut emosi ketika F:30 boleh dikatakan kekal di landasan tepat untuk diteruskan namun penambahbaikan perlu dilakukan mengikuti peredaran masa dan situasi.
Bekas Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo berkata, analisis ekosistem pembangunan bakat yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September lalu menunjukkan F:30 sebagai pelan jangka panjang yang baik bagi membina pasukan kebangsaan lebih kompetitif dan berteraskan pembangunan akar umbi, kejurulatihan, infrastruktur serta pertandingan.
“F:30 kekal sebagai garis panduan serta misi dan visi yang jelas bagi setiap pemegang taruh di Malaysia. FAM mengambil tindakan berani dengan berkongsi visi dan misi mereka kepada masyarakat yang kritis dan gilakan bola sepak.
“Walaupun terdapat elemen dan sasaran tertentu yang tidak dipenuhi, ia kekal sebagai laluan dan hala tuju setiap pemegang taruh bola sepak tempatan.
“Ia adalah platform, laluan kerjaya dan pembangunan buat pemain, jurulatih, pengadil, ahli gabungan serta kelab untuk bekerja ke arah satu matlamat yang sama,” kata De Roo.
De Roo yang menghabiskan khidmatnya selama empat tahun di Malaysia merasakan DNA dan formasi 4-3-3 adalah yang paling sesuai untuk menghidupkan dan membantu pemain berfikir secara kreatif, mendapatkan corak permainan menguasai bola, kaedah menutup ruang dan memberi tekanan tinggi kepada lawan secara kolektif.
“Ideanya ialah mempamerkan gaya permainan berasaskan penguasaan proaktif dengan pemain (dapat) belajar membuat keputusan betul secara kendiri pada setiap masa.
“Formasi yang dipilih oleh jurulatih mungkin berbeza-beza, terutama pada peringkat kumpulan umur tetapi selagi falsafah ini berasaskan penguasaan bola yang proaktif, ia menepati DNA Malaysia,” katanya.