PUTRAJAYA: Terjemahaan air kosong kepada ‘empty water‘ di laman Facebook Kementerian Kesihatan yang ditangkap layar serta tular di media sosial berpunca daripada pengguna yang telefonnya telah diaktifkan fungsi terjemahaan auto teks Facebook.
Menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan, sebaran tangkap layar itu tidak menggambarkan hantaran asal poster tersebut iaitu dalam bahasa Melayu dan bukannya dalam bahasa Inggeris.
“Paparan Facebook yang ditangkap layar dan disebar luas menerusi aplikasi WhatsApp semalam adalah berpunca daripada pengguna yang telefonnya telah diaktifkan fungsi terjemahan auto teks Facebook.
“Keadaan ini menyebabkan perkataan air kosong telah diterjemahkan secara automatik kepada perkataan ‘empty water‘ dalam telefon pengguna tersebut,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, bagi mengelakkan kekeliruan mohon kerjasama untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada fungsi terjemahan auto memandangkan ia tidak memberi penjelasan yang tepat.
“Kementerian Kesihatan berharap penjelasan ini dapat memperbetulkan salah tanggapan dan kekeliruan yang timbul berhubung isu terjemahan air kosong kepada ‘empty water‘ yang ditularkan di media sosial baru-baru ini,” katanya.