Empat samseng jalanan kena cekup - Utusan Malaysia

Empat samseng jalanan kena cekup

SALAH seorang daripada empat samseng jalanan yang ditahan polis kerana melakukan aksi berbahaya di jalan raya sekitar pantai Lido, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat penunggang motosikal yang berlagak seperti samseng jalanan ditahan polis dalam satu operasi yang dijalankan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Jalan Skudai Pantai Lido, di sini bermula pukul 11 malam tadi.

Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dalam satu kenyataan memberitahu, mereka yang ditahan berusia antara 17 hingga 30 tahun.

Menurut kenyataan itu, lokasi berkenaan merupakan ‘hotspot’ kepada golongan mat rempit untuk melakukan pelbagai aksi berbahaya.

“Antara aksi yang dilakukan mereka termasuk wheely, superman dan menunggang secara zig-zag serta aksi lain yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

“Keempat-empat suspek ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 dan penjara wajib satu hari sehingga lima tahun,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, polis turut mengeluarkan 16 keping saman melibatkan 24 kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen memandu dan melakukan ubah suai terhadap ekzos kenderaan.

“Pihak polis akan terus menjalankan operasi bagi membanteras samseng jalanan yang mengganggu pengguna jalan raya lain dan tindakan tegas akan diambil ke atas kesalahan mereka yang terlibat,” tambahnya.

Operasi berkenaan dijalankan oleh sembilan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Johor Bahru Selatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya