Empat korban banjir di Kelantan tahun ini - Ketua Polis Kelantan

Empat korban banjir di Kelantan tahun ini

SHAFIEN Mamat (tengah) menyerahkan sijil penghargaan kepada Abdul Rahim Daud sambil diperhatikan Mohd. Suhaimi Ali di IPD Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - FOTO/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Banjir gelombang pertama dan kedua kali ini menyaksikan empat nyawa menjadi korban akibat lemas di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua kes berlaku di Pasir Mas melibatkan individu berumur 13 hingga 65 tahun.

Kata beliau, mangsa termuda merupakan seorang pelajar perempuan tingkatan satu.

“Kes mati lemas itu berlaku antaranya ketika mangsa menangkap ikan dan ketika menaiki perahu, bukan semata-mata bermain banjir.

“Oleh itu, kita berharap semua masyarakat yang terlibat dengan banjir supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu antara Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud dengan Timbalannya, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali yang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini hari ini.

Abdul Rahim bersara wajib selepas berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 35 tahun dan tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu dikosongkan beliau kini dipangku oleh Mohd. Suhaimi.

Mengulas lanjut, Shafien memuji sikap rakyat Kelantan yang mematuhi perintah pihak berkuasa apabila tiada pesta banjir dilaporkan tahun ini.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, meskipun status Kelantan kini beralih ke Fasa Empat menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN), pemantauan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diteruskan seperti biasa.

“Orang ramai perlu akur arahan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya, dengan varian Omicron pula mengancam pada masa ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN