Elak krisis pencemaran sisa plastik  - Utusan Malaysia

Elak krisis pencemaran sisa plastik 

MOHIDEEN Abdul Kader menunjukkan pelet plastik daripada bahan plastik yang dikitar semula yang mengandungi pelbagai sisa toksik yang mencemarkan alam sekitar dan membahayakan kesihatan manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa memperkenal undang-undang membabitkan pengeluaran, penggunaan, kitar semula dan pelupusan semua plastik bagi mengelakkan krisis pencemaran sisa  plastik berlaku. 

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, ini kerana ujian yang dijalankan ke atas plastik terpakai kitar semula yang dijadikan pelet dikesan mengandungi bahan kimia yang boleh membahayakan kesihatan. 

Katanya, CAP telah mendapatkan palet plastik kitar semula berkenaan daripada pengitar plastik yang mengeksport dan menjual pelet tersebut kepada pengeluar tempatan untuk dijadikan produk baharu. 

“Kesemua palet itu dianalisis bagi kandungan tiga kumpulan bahan kimia yang diketahui berbahaya iaitu penstabil UV benzotriazole, bahan kalis api berbromin dan Bisphenol A,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini. 

Menurut Mohideen, Penasihat International Pollutants Elimination Network (IPEN), Dr. Sara Brosche pernah memaklumkan pelet dari Malaysia tidak sesuai untuk kegunaan dalam produk baharu terutama produk yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kimia toksik. 

Katanya, disebabkan itu kerajaan tidak sepatutnya menggalakkan perniagaan mengitar semula plastik toksik kerana  bukan sahaja memusnahkan alam sekitar, malah turut menjejaskan kesihatan pekerja dan pengguna. 

“Pengeluaran plastik perlu dikurangkan secara drastik dan perdagangan sisa plastik perlu diharamkan untuk kebaikan semua pihak. 

“Pengeluar perlu menghentikan penggunaan bahan kimia toksik dalam plastik secara berperingkat dan perlu mendedahkan sebarang kandungan bertoksik kepada pengguna hiliran, pengguna, pengitar semula dan kakitangan pengurusan sisa,”katanya. 

Tambahnya, selepas China menutup pintu kepada sisa plastik, Malaysia muncul sebagai antara destinasi utama bagi pengeksport sisa plastik. 

“Mengitar semula sisa plastik dari luar negara mungkin menguntungkan tetapi kekurangan peraturan dan pengawasan telah menimbulkan pelbagai masalah di negara ini. Ini kerana plastik yang tidak sesuai untuk dikitar semula mungkin dilupuskan menerusi pembakaran dan melepaskan bahan kimia toksik ke dalam alam sekitar atau dibuang di tapak pelupusan sampah dengan berpotensi mencemarkan tanah dan sumber air,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya