Eksesais Passex: TLDM, Tentera Laut Jerman perkukuh pertahanan maritim Selat Melaka - Utusan Malaysia

Eksesais Passex: TLDM, Tentera Laut Jerman perkukuh pertahanan maritim Selat Melaka

LATIHAN pendaratan Helikopter Super lynx milik Tentera Laut Jerman dari geladak KD Jebat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) giat melaksanakan Eksesais   Passage (Passex) bersama Tentera Laut Jerman dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik pertahanan maritim di sekitar perairan Selat Melaka, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam satu kenyataan memaklumkan, siri latihan tersebut diadakan untuk memperkasa kebolehoperasian melalui kaedah perkongsian idea serta kepakaran di lapangan.

Katanya, eksesais tersebut melibatkan tujuh aset TLDM iaitu Kapal Diraja (KD) Sri Inderasakti, KD Jebat, KD Lekir, KD Laksamana Hang Nadim, KD Gempita, KD Sundang serta helikopter Super Lynx.

“Tentera Laut Jerman pula menggunakan dua buah aset  iaitu FGS Bayern serta helikopter Sea Lynx. Turut serta menjayakan eksesais ini adalah Fast Combat Boat (FCB) TLDM.

“Objektif latihan diterjemah melalui beberapa siri latihan di laut meliputi manuvra taktikal, pendaratan helikopter dan sail past. Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, TLDM menjelaskan, Tentera Laut Jerman sebelum ini sedang melaksanakan misi penugasan pengawasan keselamatan maritim di sekitar perairan Indo-Pasifik bersama gabungan aset tentera laut sahabat dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

Tentera Laut Jerman seterusnya dijangka akan meneruskan pelayaran ke Sri Lanka dan India sebelum pulang ke negara asal pada Februari 2022 setelah selesai pelaksanaan misi pengawasan selama tempoh hampir enam bulan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya