SHAH ALAM: Belum pun selesai masalah banjir yang melanda pada 18 Disember lalu, penduduk di Kampung Kebun Bunga, Seksyen 22 di sini, sekali lagi ditimpa dugaan selepas bumbung rumah mereka rosak ditiup ribut kelmarin.
Malah dilaporkan, lebih 40 buah rumah mengalami kerosakan serupa di kawasan penempatan berkenaan dalam kejadian angin kencang dan hujan lebat yang berlaku kira-kira pukul 5 petang.
Seorang penduduk, Maznah Mohd. Zin, 56, berkata, dia tidak lagi berdaya menerima dugaan selepas angin kencang menyebabkan bumbung rumahnya rosak sehingga menjejaskan bahagian halaman, ruang tamu dan bilik utama.
“Mak cik baru hendak berehat dalam rumah selepas kemas halaman, kemudian hujan lebat tak lama selepas itu angin kencang menderu sebelum bumbung tiba-tiba terbang dan terkena tempias hujan kira-kira pukul 5.30 petang,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Menurutnya, kejadian yang berlaku terlalu mendadak ditambah pula banjir pada hujung tahun lalu menenggelamkan lebih separuh kediamannya.
“Entah berapa puluh ribu ringgit lagi makcik terpaksa berhabis selepas kejadian banjir pada bulan lalu, kini ribut pula, sedangkan rumah pun belum dikemas sepenuhnya. Masih banyak lagi pakaian yang terkena lumpur,” luahnya.
Sementara itu, seorang peniaga, Saiful Azuan Deraman, 35, yang turut mengalami situasi sama memberitahu satu kampung terputus bekalan elektrik selepas bumbung warungnya terbang dan menimpa sebatang tiang elektrik di Lorong Bunga Raya 3.
Katanya, dia berhabis simpanan termasuk dikhaskan untuk anaknya kerana membaiki kerosakan rumah dan kedai akibat banjir, namun buntu apabila dia diuji sekali dengan ribut.
“Ketika kejadian saya ada di kedai, dengar bunyi deruan angin sebelum menerbangkan bumbung bersaiz 2,400 kaki persegi. Berpusing-pusing serpihannya ditiup angin seperti puting beliung sebelum berlanggar tiang elektrik dan jatuh menimpa sebuah rumah di seberang jalan.
“Sudahlah bantuan banjir lalu masih lagi belum dapat, dengan kerosakan dekat rumah dan kedai yang baru sahaja dibaiki, tiba-tiba ribut pula, harap bantuan disegerakan,” keluhnya.
Seorang lagi peniaga Norhayati Ishak, 44, berkata ribut yang berlaku semalam melanda berserta hujan batu dan turut merosakkan stor barangan miliknya ketika dia berada bersama suami, Azhar Hasan, 47, di sana.
“Dengar bunyi ketukan pada bumbung begitu luar biasa kuatnya ketika hujan, kemudian nampak ketulan ais kecil bertaburan atas lantai dan tak lama kemudian tiba-tiba bumbung di tingkat atas terbuka.
“Ketika itu pula saya dengan suami sedang mengemas barangan khemah dan katering akibat banjir, masih banyak belum selesai, tiba-tiba ribut bumbung terbang pula, harap kerajaan buat sesuatu selepas cuaca di negara kita agak ekstrim akhir-akhir ini,” jelasnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kejadian bumbung terbang di Politeknik Premiere Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan parkir kereta di Pasar Besar Giant di Seksyen 13.
Ribut itu juga turut mengakibatkan pokok tumbang menimpa lebih 10 kenderaan dekat Jalan Subang di kawasan sama. – UTUSAN ONLINE