IPOH: Dua syarikat masing-masing didenda RM50,000 dan RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah gagal memastikan tahap keselamatan di tempat kerja hingga menyebabkan kematian dua pekerja pada Julai 2019 dan April 2021.
Hakim Norashima Khalid menjatuhi hukuman itu ke atas Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. yang diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd. Hidayatullah Mohamed Yusof, 43, dan Mardec Processing Sdn. Bhd. yang diwakili Pengurus Operasi Kilang, Mohamad Zubir Md. Desa, 49.
Kedua-dua syarikat itu didakwa secara berasingan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan, Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. sebagai majikan utama telah gagal untuk memastikan pengadaan sistem penangkapan jatuh bagi kerja-kerja memasang ‘hanging scaffold‘ sehingga menyebabkan kemalangan kepada pekerja warga Bangladesh, Kamal Hossein, 42.
Kejadian berlaku di Jeti Lekir Bulk Terminal, Pulau Lekir Satu, Jalan Teluk Rubiah di Seri Manjung pada pukul 12.50 tengah hari, 17 Julai 2019.
Sebuah lagi syarikat iaitu Mardec Processing Sdn. Bhd. didakwa gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti pemanduan forklift sehingga menyebabkan kemalangan kepada pekerja Bangladesh, Md. Millon Sheikh, 32.
Kejadian itu berlaku di Mardec Processing di Bota Kanan, Bota pada pukul 11.30 pagi, 4 April 2021.
Pendakwaan bagi kes Lumut Maritime dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Devyclay Pius dan Shahrill Sulaiman manakala syarikat itu diwakili peguam Tajuddin Razak.
Kes membabitkan Mardec Processing pula dikendalikan pegawai pendakwa JKKP, Eza Marny Marzuki manakala syarikat berkenaan tidak mempunyai peguam.
Hakim Norashima menjatuhi hukuman denda RM50,000 kepada Lumut Maritime selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes berkenaan di akhir pembelaan.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM35,000 kepada Mardec Processing.
Kedua-dua syarikat membayar denda tersebut.