JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan dua lelaki kerana disyaki menjalankan kegiatan memburu haiwan secarac haram di kawasan hutan di Jalan Batu 16, Jalan Kota Tinggi-Mersing, dekat sini semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki tempatan dan warga asing yang berusia 33 dan 44 tahun itu diberkas pada pukul 11.30 malam.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai lesen bagi menjalankan aktiviti pemburuan.
“Polis dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Kota Tinggi melakukan satu Op Khazanah selepas menerima maklumat berhubung aktiviti pemburu haram di kawasan hutan berkenaan.
“Hasilnya kita memberkas satu lelaki tempatan dan seorang warga asing selain selaras senapang patah, lapan butir peluru penabur, klip besi dan batang besi berukuran 12 sentimeter,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, hasil pemeriksaan ke atas laras senapang itu mendapati tiada nombor siri atau jenama buatan.
Jelasnya, kedua-dua suspek yang tidak memiliki lesen berburu itu disyaki membuat sendiri senapang berkenaan.
“Mereka disyaki aktif melakukan kegiatan memburu binatang liar sejak dua tahun lalu melibatkan haiwan liar termasuk landak, ular sawa, babi hutan,” ujarnya.
Katanya, suspek tempatan ditahan reman empat hari manakala warga asing ditahan selama 14 hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN