Dua lelaki Filipina dipenjara enam bulan miliki Mykad palsu - Utusan Malaysia

Dua lelaki Filipina dipenjara enam bulan miliki Mykad palsu

SULAIMAN Janalun (dua dari kiri) dan Mizwan Zakaria (dua dari kanan) dituduh memiliki Mykad palsu di Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 LUMUT: Dua lelaki warganegara Filipina dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memiliki kad pengenalan palsu di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini.

Tertuduh, Sulaiman Janalun, 36, dan Mizwan Zakaria, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan berasingan di hadapan Majistret A. Hafiizh Abu bakar.

Mengikut pertuduhan, Sulaiman didakwa atas kesalahan memiliki Mykad palsu atas nama Mohamad Ridwan Duraman manakala Mizwan pula didakwa atas kesalahan memiliki Mykad palsu atas nama Al Adzmi Seid.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di hadapan sebuah klinik swasta bernama Mediclinic Sinaran, di Taman Sentosa, Sitiawan di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 21 Januari lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan-peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Zulkifli Idris manakala kedua-kedua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh tangkapan terhadap kedua-dua tertuduh yang berasal dari Mindanao, Filipina.

Berdasarkan fakta kes, dua lelaki berkenaan ditahan dalam Op Jala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya di klinik swasta di Sitiawan pada Jumaat lalu.

Mereka yang bekerja sebagai jurukimpal masing-masing datang daripada Kuala Lumpur dan Johor Bahru untuk bekerja di kilang kawasan sekitar Manjung yang diuruskan ejen pekerjaan.

Susulan itu mereka perlu melakukan ujian Rapid Test Kit (RTK) antigen dan PCR di sebuah klinik swasta di Sitiawan.

Semakan pihak berkuasa mendapati dua lelaki berkenaan menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri.

Mereka mengaku membeli kad pengenalan palsu itu di Sabah dengan harga RM350 hingga RM500.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya