SEREMBAN: Dua lagi kluster pendidikan dikesan berlaku di Negeri Sembilan iaitu Kluster Persiaran Pendidikan Enstek dan Kluster Lorong Ilmu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, Kluster Persiaran Pendidikan Enstek melibatkan pelajar Kolej Tunku Kurshiah manakala Kluster Lorong Ilmu melibatkan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
“Kluster Persiaran Pendidikan Enstek mencatatkan 38 kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini dan menjadikan kumulatif kes kluster tersebut kini sebanyak 50 kes. Bagi Kluster Lorong Ilmu, sebanyak tiga jangkitan baharu hari ini dan menjadikan keseluruhan kes kumulatif sebanyak 19 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat pukul 12.00 tengah hari tadi, Negeri Sembilan mencatatkan sebanyak 393 kes baharu Covid-19.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan, Kluster Lorong Ilmu melibatkan pelajar berasrama sebuah institusi pendidikan yang terletak di bawah USIM. – UTUSAN ONLINE