ALOR SETAR: Dua lagi kluster institusi pendidikan baharu direkodkan di negeri ini iaitu di daerah Baling dan Kulim, hari ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo berkata, kluster tersebut ialah Kluster Dah Jalan Weng 2 di Maktab Mahmud Baling dan Kluster Dah Bukit Awi di Maahad Tahfiz Darul Ansar, Kulim.
Beliau berkata, Kluster Dah Jalan Weng merekodkan kes kumulatif sebanyak 30 kes positif Covid-19 manakala Kluster Dah Bukit Awi merekodkan kumulatif sebanyak 26 kes.
“Terdapat tiga kluster baharu yang diisytiharkan hari ini, bagaimanapun hanya dua kluster sahaja membabitkan institusi pendidikan manakala satu lagi adalah kluster industri di Baling.
“Kluster Dah Ketil Industri Baling 2 adalah kluster baharu bagi kategori industri hari ini dengan kumulatif sebanyak 88 kes,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, berdasarkan rekod, terdapat 17 kluster Covid-19 membabitkan kluster pendidikan yang direkodkan sejak 11 Januari lalu sehingga hari ini. – UTUSAN ONLINE