JOHOR BAHRU: Seorang pesara sebuah syarikat milik kerajaan dan seorang pengurus syarikat direman lima hari bermula hari ini hingga Isnin bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah mendapatkan kontrak perladangan di Segamat.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Suhaila Shafi’uddin selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Segamat membuat permohonan tahanan reman di Mahkamah Majistret, Johor Bahru, di sini pagi tadi.
Kedua-dua suspek lelaki masing-masing berusia 61 tahun itu yang berpakaian baju lokap SPRM berwarna jingga tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 8.40 pagi.
Semalam, SPRM Segamat telah menahan kedua-dua mereka bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah melibatkan nilai kira-kira RM500,000.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan pejabat SPRM Johor Bahru antara pukul 12.30 tengahari hingga 5 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.
Difahamkan pada tahun 2019 hingga 2020, suspek pesara yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus syarikat milik kerajaan di Segamat telah menerima rasuah daripada pengurus syarikat terbabit sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja kontrak perladangan di daerah tersebut.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. -UTUSAN ONLINE