GUA MUSANG: Dua hari ada air, lima hari lagi terputus bekalan. Itu rutin perlu dilalui lebih 3,000 penduduk di sekitar daerah ini yang kerap berdepan gangguan bekalan air bersih.
Difahamkan, selain Bandar Lama dan Bandar Utama di sini, masalah sama dihadapi penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, Kampung Lembaga, Kampung Sungai Terah, Kampung Kolam Mas serta Kampung Batu 1 dan Kampung Batu 2.
Penduduk Kampung Lembaga, Sulaiman Abdullah, 46, memberitahu Mingguan Malaysia, bekalan air kerap terganggu sejak tiga tahun lalu iaitu selepas projek perumahan dibangunkan di Bandar Utama bersebelahan kampung mereka.
“Dalam seminggu dua hari sahaja ada air, jadi kami perlu rancang sebaik mungkin penggunaan bekalan air untuk lima hari selepas itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pelajar Tingkatan Lima, Noriza Talia Jefri, 17, pula berkata, dia yang tinggal di asrama sebuah sekolah berasa tertekan kerana mereka pernah tidak mandi berhari-hari, gara-gara terputus bekalan air.
“Selain tak boleh cuci pakaian, kami nak membuang air besar pun susah kerana terpaksa cari tempat yang ada bekalan air. Kami berharap pihak berwajib dapat segera mengatasi masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dalam satu kenyataan memberitahu, Bandar Utama, Gua Musang dan kawasan sekitarnya menerima bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Ketil melalui tangki Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Katanya, gangguan bekalan air di kawasan itu berpunca penggunaan paip baharu dari Taman Mesra ke Jambatan Sungai Cindai serta kadar kehilangan air tak terhasil (NRW) yang tinggi iaitu 45.5 peratus berbanding purata NRW tahun lepas 35.5 peratus.
“Bagi penyelesaian jangka pendek, AKSB akan memasang peralatan untuk mengawal kadar alir air ke PPR Gua Musang dan kawasan sekitar Bandar Utama manakala penyelesaian jangka sederhana pula, paip air dari tangki Jakoa ke tangki Bandar Utama akan diganti.
“Bagi penyelesaian jangka panjang dalam tempoh tiga tahun, AKSB akan membina loji baharu iaitu LRA Bukit Chupak dengan kapasiti 10 juta liter sehari. Projek ini akan ditender pada Februari depan dan dijangka siap awal 2024,” katanya. – UTUSAN