Dikurnia gelaran Datuk, Aishah anggap penghargaan 35 tahun dalam muzik - Utusan Malaysia

Dikurnia gelaran Datuk, Aishah anggap penghargaan 35 tahun dalam muzik

AISHAH bersama pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Datuk yang diterimanya sempena Hari Keputeraan ke-74 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah baru-baru ini. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Dikurniakan gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir baru-baru ini disifatkan oleh penyanyi Aishah sebagai penghargaan tidak ternilai buat dirinya yang telah 35 tahun berkecimpung dalam industri muzik.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 57, berkata, beliau sangat terharu menerima gelaran menerusi Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang dikurniakan sempena Hari Keputeraan ke-74 Tuanku Muhriz.

“Perasaan terharu apabila dapat menerima pingat ini, seolah-olah macam dalam mimpi. Ia merupakan satu sejarah, pengalaman, satu penghargaan bagi saya yang sudah melibatkan diri selama 35 tahun dalam industri muzik.

“Tiada perkataan yang dapat digambarkan dan tidak sangka dapat penghargaan ini. Saya amat menghargai dan akan terus berkarya serta melakukan perkara yang baik apabila mendapat gelaran ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anak kelahiran Jempol yang popular menerusi lagu Janji Manismu itu menerima gelaran tersebut dalam istiadat yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada Sabtu lalu.

“Pada hujung usia ini saya juga mahu menulis lirik dengan mesej yang baik dan berharap dapat meninggalkan legasi yang baik kepada peminat dan negara. Saya juga berminat untuk menceburi bidang kraftangan dengan lebih serius pada masa akan datang.

“Selain itu, saya juga teringin terlibat aktif dalam aktiviti perlindungan haiwan kerana saya amat menyukai kucing. Sekiranya ada peluang, saya mahu menjadi jurucakap dan bekerjasama dengan mana-mana pusat perlindungan haiwan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Aishah memberitahu akan melancarkan lagu single berjudul Ketentuan Takdir pada 28 Januari ini.

“Alhamdulillah lagu sudah siap. Lagu ini menceritakan perjalanan hidup yang saya lalui dalam kerjaya seni.

“Saya berharap lagu ini dapat diterima dengan baik oleh peminat dengan kehadiran tahun baharu. Status baharu ini juga diharap menjadi fasa terakhir untuk saya yang menjangkau usia 57 tahun ini dan sekali gus dapat memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Nama Aishah mula mengharum dalam dunia seni sebagai penyanyi pada awal tahun 1980-an bersama kumpulan, The Fan Club dari New Zealand.

Bersama kumpulan berkenaan, Aishah mengeluarkan album Sensation dan mencipta sejarah tersendiri sebagai penyanyi wanita pertama Malaysia pernah menduduki carta Billboard Hot 100 menerusi lagu Don’t Make Me Fall Alone pada 1990.

Pada 2017, Aishah melakukan kemunculan semula dalam dunia seni tanah air apabila menjuarai program realiti, Gegar Vaganza musim keempat.

Beliau juga sebelum ini pernah aktif dalam dunia politik pada 2013 dan bertanding di Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan mewakili parti Pas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya