BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memindahkan empat ekor babi hidup tanpa kebenaran pada November lalu.
Tertuduh, Tan Jie Xuan, 22, sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M. Kalaiarasi dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, Jie Xuan didakwa memindahkan empat ekor babi dengan sebuah lori tanpa mendapat kebenaran bertulis dari Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah sembelihan di No. 2976, Tingkat Selamat 10, Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini kira-kira pukul 11.50 pagi pada 24 November lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 jika disabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda, namun dia membayar denda tersebut hari ini.
Selain itu, Kalaiarasi memerintahkan hasil jualan babi bernilai RM1,200 dilucut hak dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Lori milik sebuah syarikat turut diserahkan kembali selepas tertuduh membayar denda.
Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin dan tertuduh tidak diwakili peguam.