Dibalas rezeki berganda jaga ibu - Utusan Malaysia

Dibalas rezeki berganda jaga ibu

MUHAMMAD Siddiq Mohd. Sokran menunjukkan ayam siap diproses untuk dipasarkan sambil diperhatikan Norkiah Embong di Kampung Makam, Mersing, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Sanggup meninggalkan pekerjaan selesa di ibu kota demi menjaga ibunya di kampung, seorang pemuda di Kampung Makam, di sini kini mendapat rezeki berlipat ganda melalui perniagaan ternakan ayam yang diusahakannya.

Muhammad Siddiq Mohd. Sokran, 27, berkata, dia mengusahakan ternakan itu selepas bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya berhampiran rumah mereka.

Sebagai anak bongsu dalam keluarga dan masih bujang, Muhammad Siddiq mengambil tanggungjawab menjaga ibunya, Norkiah Embong, 63, yang tinggal bersendirian, tambahan pula adik beradik lain sudah berumah tangga serta menetap jauh.

“Selepas ayah meninggal, emak tiada teman. Saya bertekad berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk menjaga emak. Masa itu saya kerja di syarikat kereta di Subang Jaya dan gaji juga sudah selesa namun tinggalkannya kerana emak lebih memerlukan saya.

“Tambahan pula emak tidak pandai bawa kereta dan mempunyai sakit darah tinggi. Apabila pulang ke kampung berkat restu emak saya mula menternak ayam di belakang rumah untuk menjana pendapatan kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Muhammad Siddiq berkata, sebanyak 300 ekor ayam diusahakan pada permulaan dia menternak haiwan itu dengan menggunakan modal wang simpanannya.

Katanya, kini ternakannya semakin bertambah sehingga mendapat pulangan sekitar RM10,000 hingga RM15,000 sebulan, empat kali ganda lebih banyak daripada gaji yang pernah dimiliki ketika bekerja makan gaji dahulu.

“Ayam yang telah diproses saya hantar sekitar Mersing sahaja kerana di daerah ini pun permintaan tidak mencukupi. Saya juga merancang besarkan lagi kapasiti yang ada berbanding sekitar 4,000 ekor sekarang agar pengeluarannya dapat ditambah,” katanya.

Menceritakan cabaran sepanjang mengusahakan ternakan ayam itu, katanya, dia pernah berdepan dengan kematian kesemua 4,000 ekor ayamnya ketika mula mengusahakan ternakan itu akibat serangan penyakit daripada burung, bagaimanapun dia cepat bangkit dan menjadikannya sebagai pengajaran dalam bidang itu.

“Saya anggap itu sebagai cabaran. Apa yang berlaku membuatkan saya lebih berhati-hati dan berwaspada dalam memastikan semua ayam saya dalam keadaan baik dan sihat.

“Saya banyak mengikuti kursus dan mencari ilmu daripada penternak lain dan mengaplikasikan di reban. Bahkan ayam saya juga pernah cecah dua kilogram seekor dengan mengamalkan kejut mereka makan pada waktu malam setiap dua jam sekali,” katanya.

Selain tempahan diterima di sekitar daerah itu, Muhammad Siddiq juga turut menjual ayam dari rumah. Bagi yang berminat boleh hubungi talian 016-9131545. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya