PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menempah 60 bas elektrik daripada syarikat SKS Couchbuilders Sdn. Bhd. sebagai inisiatif menangani isu perubahan iklim dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkhidmatan bas itu diberikan secara percuma oleh GoKL di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum diperluas ke seluruh negara pada masa akan datang.
“Kenderaan ini dijadual dihantar secara berperingkat mulai tahun ini sebelum lengkap penghantaran sepenuhnya pada 2023.
“Saya turut berharap langkah yang dilaksanakan oleh DBKL ini dicontohi oleh syarikat penyediaan perkhidmatan bas yang lain seperti Prasarana bagi membantu kerajaan mencapai sasaran negara neutral karbon,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melawat kilang integrasi bas elektrik penuh syarikat berkenaan yang merupakan salah satu inisiatif pemain industri dalam membantu kerajaan mencapai sasaran tersebut.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia disasar menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050, malah, di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022 beliau telah menyebutkan perkara itu beberapa kali.
“Bagi mencapai hasrat ini, semua pihak harus memainkan peranan dalam memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain untuk mencapai matlamat global untuk menangani isu perubahan iklim,” katanya. – UTUSAN ONLINE