Datang dari Perak, kena saman RM6,000 di Melaka - Utusan Malaysia

Datang dari Perak, kena saman RM6,000 di Melaka

SERBUAN dilakukan polis kira-kira pukul 10 pagi susulan aduan bunyi bising yang dibuat oleh penduduk di kawasan inap desa di Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keseronokan dua beradik berkonvoi sejauh 300 kilometer dari Teluk Intan, Perak ke Melaka tidak berpanjangan, selepas disaman RM6,000 kerana kesalahan mengubah suai motosikal.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Deputi Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, dua beradik berusia 22 dan 24 tahun itu antara 10 yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah inap desa di Batu Berendam, semalam.

Jelasnya, serbuan dilakukan kira-kira pukul 10 pagi susulan aduan bunyi bising yang dibuat oleh penduduk di kawasan berkenaan.

“Kita telah menerima laporan membabitkan bunyi bising motosikal di kawasan tersebut dan hasil serbuan kita menahan 10 individu berusia antara 20 hingga 30 tahun, selepas mendapati kenderaan ditunggang mereka telah diubah suai.

“Antara yang ditahan adalah dua beradik atas 17 kesalahan mengubah-suai motosikal jenis  Yamaha Y15ZR dengan jumlah saman dikeluarkan adalah sebanyak RM6,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, semalam.

Tambahnya, hasil pemeriksaan di premis juga menjumpai dua plastik dipercayai air ketum yang dimiliki oleh salah seorang penunggang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 72 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk mengubah-suai ekzos, struktur kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut piawaian dan tidak mempunyai cermin sisi.

“Difahamkan, kumpulan ini berkonvoi ke Melaka bagi meraikan tahun baharu dan menginap di rumah inap tersebut sejak kelmarin.

“Ketika serbuan dibuat, mereka sedang mencuci motosikal dan sepatutnya pulang semula ke Teluk Intan hari ini,” katanya.

Katanya, kesemua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya