Daratkan rokok seludup RM2.7 juta di PCB - Utusan Malaysia

Daratkan rokok seludup RM2.7 juta di PCB

MAT Shukor (kiri, depan) menunjukkan rokok seludup dirampas pihaknya di Kampung Lundang Paku, Nilam Puri semalam. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Taktik penyeludup menjadikan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, sebagai lokasi mendaratkan rokok seludup gagal selepas anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan itu semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, Batalion 8 PGA merampas sebanyak 11,000 karton rokok putih dianggarkan bernilai RM2.7 juta termasuk cukai.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintenden Mat Shukor Yusof berkata, rokok-rokok yang diseludup menggunakan bot nelayan itu diangkut menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero.

Katanya, kedua-dua kenderaan  berkenaan seterusnya dipandu dua lelaki dalam keadaan mencurigakan dan diekori anggota PGA sejauh hampir 15 kilometer sebelum pemandu menyedarinya.

“Mereka memecut laju kenderaan dipandu menuju ke Kampung Lundang Paku sebelum gagal dikesan. Namun selepas menjejakinya berdasarkan kesan tayar, kita menemukan 220 bungkusan dibuang di kawasan semak kira-kira 30 minit kemudian.

“Pemeriksaan membawa kepada penemuan sebanyak 11,000 karton rokok putih yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta tanpa cukai,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Batalion 8 PGA di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Menurut Mat Shukor, anggota PGA  menunggu hampir dua jam di lokasi itu, namun tiada seorang pun yang datang untuk mengambil semula rokok-rokok seludup berkenaan.

Ujarnya, kesemua rokok yang dirampas diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, sindiket itu menjadikan PCB yang merupakan lokasi rekreasi tumpuan orang ramai pada siang hari sebagai tempat pendaratan rokok seludup sejak tiga bulan lalu. Rokok-rokok yang dirampas ini dipercayai untuk dijual di pasaran Kelantan, negeri-negeri di pantai timur dan selatan tanah air,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN