IPOH: DAP Perak akan meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu mengemukakan laporan bertulis kepada parti itu berhubung penahanannya di sebuah kelab malam di Bukit Mertajam Pulau Pinang, Khamis lalu.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, laporan lengkap itu diperlukan agar pimpinan parti di peringkat negeri mahupun Pusat dimaklumkan situasi sebenar yang berlaku.
“Saya telah menghubungi Terence Naidu dan mengesahkan bahawa beliau telah ditangkap pada malam Khamis lepas.
“Beliau telah dibebaskan dengan jaminan polis, sehubungan itu saya telah meminta agar beliau mengemukakan laporan bertulis berhubung kejadian itu kepada parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, DAP memberi jaminan kepada orang ramai bahawa parti itu memandang serius kelakuan dan integriti setiap wakil rakyatnya.
“Mereka seharusnya menjadi contoh teladan sebagai orang yang telah diamanahkan untuk memimpin rakyat,” katanya.
Terence didakwa positif menggunakan bahan terlarang ketika serbuan polis di sebuah kelab malam di Pulau Pinang.
Dia dibebaskan daripada tahanan polis.
Terence, 54, merupakan ADUN Perak selama dua penggal dan merupakan seorang peguam. – UTUSAN ONLINE