PETALING JAYA : DAP masih berteka-teki mengenai dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Desas-desus mengatakan salah satu kerusi baharu itu adalah DUN Layang-Layang yang bakal meletakkan nama Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Marina Ibrahim.
Namun bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik turut dikatakan bakal bertanding kerusi berkenaan sekali gus bakal diangkat sebagai Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang PRN berkenaan.
Namun Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali enggan mendedahkan nama dua kerusi baharu bakal ditandingi parti, sebaliknya menjelaskan pihaknya akan mempertahankan 14 kerusi dimenangi pada pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di samping mendapat tambahan dua kawasan baharu.
“Insya-Allah, kita meletakkan calon di 14 kerusi DUN yang pernah ditanding dan dimenangi pada pilihan raya lalu dan dua kawasan baharu, sekali gus DAP bertanding di 16 kerusi pada PRN Johor.
“Namun, apakah dua kerusi baharu itu? Tunggu sahaja pengumuman kepimpinan DAP nanti,” katanya.
Sebelum ini, DAP bertanding di 14 kerusi DUN ketika PRU-14 dan menang di semua kawasan tersebut iaitu Jementah, Bekok, Tangkak, Bentayan, Yong Peng, Penggaram, Mengkibol, Paloh, Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai, Senai dan Pekan Nenas.
Dalam pada itu, Sheikh Umar berkata, DAP dijangka bakal mengetengahkan lebih ramai calon Melayu dalam PRN Johor berbanding satu calon sewaktu PRU-14.
Walau bagaimanapun, jumlah sebenar kombinasi kaum masih di peringkat perbincangan.
Jelasnya, DAP akan meletakkan lebih banyak calon muda sejajar hasrat itu yang mahu mengetengahkan idea dan nafas baharu dalam tampuk kepimpinan kerajaan negeri Johor.
“Sama ada muka baharu, calon sedia ada kekal atau berpindah kawasan masih dalam perbincangan. Perkara ini akan diputuskan di peringkat jawatankuasa sebelum diputuskan oleh kepimpinan parti.
“Mungkin ada kita meletakkan lebih ramai calon Melayu dan calon muda sejajar nafas baharu politik negara dengan pelaksanaan Undi18. Namun tunggu dahulu pengumuman oleh kepimpinan parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE