JERANTUT: Penduduk Felda Sungai Retang, dekat sini bersyukur dan berterima kasih kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kerana menyediakan projek telaga tiub yang akan membekalkan air bersih di situ dalam masa terdekat.
Antara penduduk di kawasan yang mengalami tekanan rendah di Felda tersebut, iaitu Jalan Jengkuar dan Jalan Silang kini sudah dipasang tangki besar yang boleh menyimpan air daripada telaga tiub bagi keperluan harian kira-kira 100 buah keluarga di situ.
Penduduk, Mohd. Nazri Abdullah berkata, dia serta penduduk di situ bersyukur dan berterima kasih dengan usaha kerajaan melalui KASA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang cakna dengan masalah bekalan air yang kerap berlaku di situ.
“Hal ini berpunca kerana loji air berdekatan Felda ini belum dinaik taraf dan kami sering terputus bekalan air khususnya pada musim kemarau selain mengalami tekanan rendah di kawasan penempatan di tempat tinggi sejak lebih 10 tahun lalu.
“Kita berharap projek telaga tiub ini sebagai alternatif terbaik KASA sambil berharap kerajaan negeri menaik taraf loji berdekatan untuk kemudahan bekalan yang sempurna pada masa akan datang,” katanya di Felda Sungai Retang dekat sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin yang hadir melawat kerja penyelenggaraan telaga tiub di Felda tersebut berkata, projek tersebut menggunakan Dana Wakaf dengan memasang tangki simpanan air berkapasiti 11,355 liter.
“Dua buah projek telaga tiub menerusi Dana Wakaf Air ini juga telah dibina Kampung Batu Balak (Kuala Tembeling) dan Kampung Tanah Pindah Bukit Mat Daling (Hulu Tembeling) berikutan penduduk di situ berdepan masalah bekalan air sejak sekian lama.
“Saya juga berterima kepada Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan SPAN serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini dan diharapkan penduduk berkenaan dapat menerima bekalan air bersih dengan sempurna,” ujarnya. – UTUSAN