KOTA TINGGI: Polis telah memanggil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berhubung laporan polis dibuat seorang wanita yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu, Bahagian Kota Tinggi yang mendakwa telah menjadi mangsa gangguan seksual.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, ADUN berkenaan telah dipanggil semalam untuk diambil keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
“(ADUN) telah dipanggil ke IPD Kota Tinggi semalam (untuk ambil keterangan). Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi menafikan tuduhan itu dan melihat ia sebagai konspirasi politik serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya.
Katanya, tuduhan itu juga bertujuan mencalar reputasinya selaku seorang wakil rakyat.
Beliau juga bersedia untuk memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Rasman berkata, beliau juga telah berbincang dengan barisan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imejnya.
Beliau juga menegaskan bahawa konspirasi politik seperti itu tidak akan sekali-kali melemahkan semangatnya untuk terus berjuang dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya melalui mandat rakyat.
Menerusi laporan tular itu, mangsa mendakwa telah diganggu secara seksual ketika hadir ke program dihadiri ADUN berkenaan yang pertama kali berlaku pada 2 Januari lalu, namun bertindak mendiamkan diri kerana takut berlaku perkara yang tidak diingini.
Kejadian kedua dan ketiga pula berlaku pada 3 Januari serta 12 Januari lalu, namun mangsa mendakwa tidak berani untuk menceritakan perkara itu kerana memikirkan status selain bimbang dinafikan perkara itu sebelum nekad membuat laporan selepas diraba di bahagian sulit pada 13 Januari.