SANDAKAN: Cubaan menyeludup keluar pelbagai barang bersubsidi bernilai RM521,017 berjaya dipatahkan di Kampung Cenderamata, Jalan Batu Sapi, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, enam lelaki termasuk seorang warga asing berusia 24 hingga 42 tahun turut ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, berdasarkan maklumat risikan, anggota PGA menyerbu lokasi kejadian dan melihat sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memindahkan petrol ke sebuah kapal besi.
“Apabila menyedari kehadiran anggota PGA, kumpulan lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak petrol ke kapal laut.
“Semua minyak berkenaan dipindahkan daripada beberapa tong berkapasiti 200 liter yang berada di atas dua lori sambil diperhatikan oleh tonto-tonto di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut terhadap kapal berkenaan menemukan sebanyak 44 tong gas, 95 kotak minyak masak bersubsidi dan beberapa hos yang disalurkan ke dalam tangki kapal.
Abdul Rani berkata, pemeriksaan dokumentasi juga mendapati semua lori yang digunakan membawa minyak petrol tersebut tidak mempunyai permit atau surat kebenaran untuk mengangkut bahan api.
Sementara itu, lesen kapal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga sudah tamat tempoh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan disiasat bersama Peraturan 3 (1) Peraturan -Peraturan Kawalan Bekalan 1974. -UTUSAN ONLINE