LONDON: Chelsea terus menjadi ‘mimpi ngeri’ buat Tottenham Hotspur apabila menewaskan lawannya buat kali ketiga pada musim ini dan terbaharu kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Lebih manis, sepanjang tiga aksi itu, The Blues tidak dibolosi Spurs termasuk menyingkirkan pencabar dari London itu pada separuh akhir Piala Liga.
Jaringan menarik Hakim Ziyech membuka tirai jaringan di Stamford Bridge disusuli tandukan Thiago Silva untuk membunuh semangat pasukan pelawat yang berang gol Harry Kane pada babak pertama dibatalkan kerana kekasaran.
Chelsea yang berada di tangga ketiga liga, kini 10 mata di belakang pendahulu, Manchester City dan satu mata dibezakan dengan Liverpool.
“Ia gol yang menarik daripada Hakim dan tekniknya sangat bijak. Kami bekerja keras untuk menang dan kami berhak memperolehinya,” ujar pengendali Blues Thomas Tuchel.
Selepas ini, Chelsea tidak akan bermain dalam liga sehingga pertengahan Februari kerana rehat musim sejuk dan terbabit dalam Piala Dunia Kelab FIFA.
Sementara itu, Antonio Conte mengakui jurang pasukanya dengan Chelsea adalah terlalu jauh meskipun berhasil membawa Spurs melalui sembilan perlawanan liga tanpa kalah selepas mengambil alih tugas Nuno Espirito Santo.
“Saya tidak suka kalah. Untuk memberikan ulasan mengenai satu kekalahan sentiasa sukar buat saya.
“Tetapi untuk mendapatkan sembilan perlawanan tanpa kalah merupakan sesuatu yang penting dan buat masa ini, jurang besar antara kami dengan pasukan utama lain seperti Chelsea.
“Saya bangga dengan usaha pemain saya. Kami mencuba melakukan segala-galanya tetapi adakalanya ia tidak mencukupi, terutama apabila anda menghadapi pasukan seperti ini di kesebelasan utama dengan pemain yang amat kuat tetapi tidak di bangku simpanan,” jelasnya. – AGENSI