MELAKA: Pemain industri pelancongan popular negeri ini termasuk Abang Beca Melaka, Cendol Jam Besar, Bazar Ole-ole dan Uptown Pahlawan Walk menghantar misi bantuan pasca banjir ke dua negeri yang terjejas dalam bencana itu.
Menurut wakil Abang Beca Melaka, Riduan Saleh, 45, berkata, inisiatif itu merupakan pulangan semula sokongan diberikan para pelancong kepada pemain industri pelancongan Melaka yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.
Katanya, hasil perbincangan sebanyak 10 pemain industri nekad untuk menghantar pasukan misi bantuan banjir dan kemanusiaan ke Pahang dan Selangor yang terjejas teruk.
“Kami percaya, ada di antara mereka yang terjejas merupakan pelanggan kami, pernah menggunakan produk beca, makan Cendol Jam Besar dan membeli-beli di UpTown Pahlawan Walk mahupun Bazar Ole-ole.
“Jadi, atas sokongan diberikan yang secara langsung membantu pemain industri pelancongan bernafas semula, kali ini kami pula akan bertemu mereka untuk memberikan sokongan diperlukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Banda Hilir di sini.
Mengulas lanjut, dia memberitahu, enam pemain lain yang terlibat adalah Madras Cafe, Melaka Vape Lounge, Jr Asam Pedas, Cendol Kampung Hulu, Coconut Shake Batu Berendam dan Yusmin Group.
Sementara itu, pemilik perniagaan Cendol Jam Besar, Muhammad Kassim Muhammad Ali, 39, berkata, bekalan bantuan yang dibawa adalah hasil kutipan sepenuhnya sumbangan daripada pemain-pemain industri itu.
“Walaupun nilainya mungkin tidaklah begitu besar iaitu kira-kira RM23,000, namun kami berusaha membalas jasa pelanggan kami.
“Antara bentuk bantuan dibawa adalah perkakas elektronik termasuk kipas, dapur memasak, tilam, bantal, cadar dan selimut,” katanya.
Tambahnya lagi, bantuan itu akan dihantar oleh 40 sukarelawan yang terdiri daripada pengayuh beca dan pekerja kedai makanan dan minuman terlibat. – UTUSAN