BUTTERWORTH: Sebuah kilang fabrikasi logam di Kawasan Perindustrian Perai dekat sini, dikenakan kompaun RM32,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang kelmarin, selepas didapati mencemar longkang awam.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kilang itu didapati membasuh buangan skrap logam yang dicemari minyak mineral terpakai (kod SW 422) dan membuang efluen tanpa rawatan.
Jelas beliau, premis tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
“Selain dikompaun, operasi penahanan kelengkapan premis itu turut diambil semasa siasatan tersebut bagi tujuan menghentikan pencemaran perairan daratan daripada berterusan.
“Pihak premis juga telah diarah untuk mengambil tindakan serta-merta bagi memastikan semua buangan terjadual yang dihasilkan diuruskan mengikut perundangan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataani.
Sehubungan itu, Sharifah Zakiah turut mengingatkan semua pengeluar buangan terjadual di Pulau Pinang supaya sentiasa menguruskan buangan terjadual yang dihasilkan mengikut tatacara pengurusan yang betul sebagaimana yang ditetapkan Ketua Pengarah Alam Sekeliling. – UTUSAN ONLINE