BALIK PULAU: Dua lelaki memecah masuk ruang solat dan mencuri wang tabung hasil sumbangan para jemaah di sebuah masjid di kawasan Teluk Kumbar, di sini pada awal pagi tahun baharu semalam.
Kelibat pemuda terbabit yang memakai topi keledar berpenutup penuh dan berkaki ayam itu dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan.
Berdasarkan perkongsian pengguna menerusi aplikasi WhatsApp komuniti, kejadian dikatakan berlaku antara pukul 1 hingga 3 pagi dan disedari jemaah yang hadir untuk mengerjakan solat subuh.
“Rakaman CCTV mendapati 2 lelaki telah memecah masuk ke ruang solat utama, kemungkinan bertujuan untuk mencuri duit di dalam tabung masjid.
“Mereka gagal mencuri di dalam masjid menyebabkan mereka cuba memecahkan tabung di tangga laluan utama ke ruang solat,” kongsi pengguna aplikasi WhatsApp tersebut.
Biarpun tidak menjelaskan tentang wang yang dicuri namun terdapat gambar yang menunjukkan kesan umpilan pada tabung masjid berkenaan.
“Laporan polis dibuat hari ini dan ini merupakan kejadian serupa kali kedua yang dapat dikesan pihak kariah,” katanya. – UTUSAN ONLINE