CAP akan suarakan isu orang tengah kepada Perdana Menteri  - Utusan Malaysia

CAP akan suarakan isu orang tengah kepada Perdana Menteri 

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan disaran lebih serius menangani isu orang tengah bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang ketika ini supaya tidak terus menekan kewangan rakyat. 

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya telah memperjuang isu orang tengah dalam rantaian bekalan itu sejak lebih 20 tahun lalu, namun sehingga kini masih tidak dapat dikurangkan. 

“CAP berpegang pada pendirian barangan makanan daripada pengeluar perlu terus sampai ke meja pengguna tanpa perlu melalui orang tengah. Orang tengah memanipulasi harga barangan sejak dahulu dan ia peranannya mesti dikurangkan bagi menstabilkan harga barangan, perkara ini antara yang akan CAP suarakan kepada Perdana Menteri esok,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini. 

Akhbar ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian terlibat berkenaan kenaikan harga barang akan dipanggil memberikan penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kos Sara Hidup bagi mencari kaedah terbaik menangani isu berkenaan esok.

Menurut Mohideen, selain mengurangkan orang tengah, kerajaan perlu menggalakkan rakyat terlibat secara serius dalam pertanian bandar atau pertanian di dalam komuniti untuk menjana sendiri bekalan makanan. 

“Pertanian bandar atau pertanian di dalam komuniti dapat membantu orang ramai untuk mendapatkan bekalan makanan sendiri. Ia akan mengurangkan kebergantungan orang ramai kepada bekalan makanan yang perlu dibeli dan membantu menjimatkan kos selain sumber makanan yang bebas daripada pencemaran,” katanya. 

Tambahnya, selain itu pengguna juga tidak boleh 100 peratus bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk menangani isu kenaikan harga barangan. 

“Orang ramai perlu mengubah sikap dan tabiat pemakanan mereka, tidak boleh lagi hanya makan ayam semata-mata, mereka perlu mempelbagaikan sumber makanan agar bekalan terjamin,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya