PUTRAJAYA: Bukan sahaja tertuduh malah peguam juga boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika mengeluarkan kenyataan yang melampau mengenai kes yang masih berjalan di mahkamah.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, para peguam juga terikat dengan kod etika sebagaimana termaktub dalam Akta Profesion Undang-Undang 1976.
“Ia bergantung kepada kenyataan yang dibuat tetapi ya, ia (kenyataan mengenai kes) boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan menghina mahkamah. Tetapi setiap prosiding (menghina mahkamah) perlu dilihat kes demi kes.
“Bagi peguam-peguam yang bertindak sedemikian, tindakan mereka itu tertakluk kepada kos etika di bawah Akta Profesion Undang-Undang,”katanya ketika menjawab soalan media mengenai tindakan beberapa individu berprofil tinggi yang sering membuat hantaran (posting) di media sosial mengenai kes mereka atau peguam-peguam yang membuat sidang media berhubung kes yang dikendalikannya.
Selain itu, Tengku Maimun ketika ditanya mengenai tindakan warga maya yang sering mengkritik keputusan dibuat mahkamah, Ketua Hakim Negara wanita pertama itu menyatakan, semua mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat masing.
“Polisi kami adalah, mereka (orang awam) adalah berhak kepada pendapat masing-masing jadi mereka boleh menyuarakannya tetapi bagi kami (badan kehakiman), kami akan menjalankan tugas kami mengikut undang-undang.
“Berbalik kepada tertuduh-tertuduh pula, mereka juga boleh katakan apa sahaja mengenai kes mereka, memberitahu satu dunia versi mereka tetapi bagi kami ia tidak penting kerana apa yang penting ialah bukti yang dikemukakan ke mahkamah dan itu yang menjadi asas kepada keputusan kes-kes tersebut,” katanya.
Tambahnya, badan kehakiman juga tidak akan membuat sebarang kenyataan atau memberi sebarang respon terhadap dakwaan atau kata-kata yang dilemparkan oleh warga maya kerana ia tidak akan mengubah apa-apa.
“Kami tidak akan memberikan sebarang respon terhadap apa yang dikatakan mengenai kami atau keputusan yang kami buat di media sosial kerana berdasarkan pemgalaman kami sebelum ini, apa yang kami katakan tidak akan membuat sebarang perubahan.
“Jadi jelas, kami tidak akan membuat sebarang komen mengenai apa yang orang perkatakan mengenai kami tidak kira di media sosial atau di mana sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE