PUTRAJAYA: Malaysia terus komited menyertai usaha komuniti global untuk menamatkan Penyakit Tropika Terabai (NTD) dan membebaskan generasi akan datang daripada penyakit kemiskinan dengan pencahayaan struktur ikonik seperti Menara Kuala Lumpur dan Pintasan Saloma, di ibu negara hari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pencahayaan dua struktur ikonik itu adalah solidariti Malaysia sempena Hari Penyakit Tropika Terabai Sedunia ketiga yang disambut setiap tahun pada 30 Januari sejak tahun 2020.
Katanya, penyakit NTD merangkumi 20 jenis penyakit seperti denggi, chikungunya, chagas disease, buruli ulcer dan pelbagai lagi penyakit yang mampu melemahkan, menjejaskan fizikal serta boleh menyebabkan kematian.
“Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Crown Prince Court of Abu Dhabi Yayasan Bill & Melinda Gates, Carter Center, The End Fund, Uniting to Combat NTDs, DNDi dan lebih 300 pemimpin kerajaan, kesihatan, komuniti dan perniagaan, menggunakan kesempatan ini untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kesedaran.
Ini termasuklah ceramah daripada pakar kesihatan serta penyampaian maklumat berkenaan NTD kepada masyarakat dalam usaha menghapuskan NTD secara menyeluruh.
“Tahun ini menyaksikan penglibatan kali kedua negara Malaysia dalam sambutan World NTD, dan fokus utama Malaysia adalah memerangi penyakit denggi. Selama empat dekad, beban global daripada denggi meningkat secara mendadak.
Peningkatan ini sangat membimbangkan, terutamanya dengan perubahan iklim yang membawa kepada fenomena pemanasan global yang turut memberi kesan dalam transmisi penyakit denggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairy berkata, namun begitu, Malaysia berjaya mengurangkan kes denggi daripada 90,304 kes pada tahun 2020 kepada 26,365 kes pada tahun lalu iaitu penurunan sebanyak 70.8 peratus.
“Malaysia bertekad untuk meneruskan trajektori ini dengan meningkatkan kesediaan menangani Denggi demi mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk mengakhiri epidemik ini menjelang 2030.
“Sambutan Hari Penyakit Tropika Terabai Sedunia pada tahun ini mengetengahkan tema 100 peratus Committed. Ia bertujuan menyeru para pemimpin peringkat global menunjukkan solidariti dan 100 peratus komitmen mendukung sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghapuskan NTD di 100 buah negara menjelang 2030,” katanya. -UTUSAN ONLINE